BERITA SEMASA

723 siri Jualan Rahmah Aidilfitri dilaksanakan, harga barang turun hingga 30 peratus

PUTRAJAYA – Sebanyak 723 siri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Aidilfitri dilaksanakan di seluruh negara bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan dan persiapan Hari Raya Aidilfitri pada harga lebih rendah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, PJRM Aidilfitri menawarkan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran semasa.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited memastikan rakyat dapat membeli barangan asas dengan harga yang lebih berpatutan, khususnya dalam musim perayaan.

Program itu dilaksanakan di seluruh negara bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna,” katanya di sini hari ini.

Selain PJRM, KPDN turut melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025, sebagai langkah kawalan harga bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan harga barangan keperluan.

Bagi membantu persediaan perjalanan balik kampung, KPDN juga memperkenalkan Program Servis Ihsan Madani@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) yang menawarkan perkhidmatan servis kenderaan pada kadar lebih rendah.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang berada di bawah KPDN turut melaksanakan tanggungjawab sosial korporat sempena Ramadan.

SSM menyumbangkan 34 unit mesin dialisis bernilai RM1.3 juta kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Waqaf An-Nur Corporation Berhad, yang akan diagihkan kepada hospital kerajaan dan pusat dialisis terpilih.

Turut disampaikan sumbangan RM15,000 kepada Masjid Al-Islamiah Kampung Lindungan, Surau Al-Taqwa dan Pusat Tahfiz Darul Haafizhiin bagi menaik taraf infrastruktur dan fasiliti.

Selain itu, 44 anak warga KPDN yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) menerima sumbangan berjumlah RM17,900 sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Sejak Januari 2024 hingga Februari 2025, SSM telah menyalurkan RM7.95 juta menerusi Wakalah Zakat Korporat kepada 11,242 penerima di seluruh negara, selain dana CSR berjumlah RM570,756 kepada 1,047 penerima yang memerlukan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button