Rampasan RM177 juta disifatkan antara terbesar dalam sejarah SPRM
KAJANG – Rampasan wang tunai berjumlah RM177 juta dalam siasatan kes berkait bekas Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini disifatkan yang terbesar oleh Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah, Tan Sri Azam Baki sepanjang kariernya.
Azam Baki berkata, sepanjang tempoh empat dekad perkhidmatannya, nilai rampasan tersebut adalah jumlah yang luar biasa.
“Rampasan besar-besaran itu bukan sahaja membabitkan mata wang tempatan tetapi turut melibatkan pelbagai denominasi antarabangsa seperti Euro, Pound Sterling, Won, Yuan dan Swiss Franc, selain jongkong emas seberat 16 kilogram.
“Saya tidak pernah melihat wang sebanyak itu secara fizikal, melainkan dalam dua kes sahaja. Pertama pada 2016 membabitkan Jabatan Air Negeri Sabah dan kini dalam kes ini,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis pelancaran Polisi Integriti Universiti Islam Selangor (UIS) di sini, hari ini.
Menurut Azam, ketika rampasan di Sabah dahulu, wang tunai yang ditemui memenuhi sebuah bilik sehingga menghasilkan aroma yang begitu kuat, yang disifatkannya sebagai ‘bau duit’ satu istilah yang menggambarkan tarikan luar biasa terhadap wang.
“Siasatan terkini menjelaskan wang tunai yang dijumpai itu ditemui di beberapa lokasi, termasuk premis yang dijadikan tempat penyimpanan khas (safehouse), dipercayai hasil aktiviti rasuah dan pengubahan wang haram.
“Ini bukan jumlah kecil. Bila dilihat sendiri, sukar untuk percaya ada individu mampu simpan wang sebanyak itu dalam bentuk fizikal,” katanya lagi.
Ketika menjawab pertanyaan media, Azam menegaskan siasatan dijalankan berasaskan bukti, bukan arahan politik.
“Bila ada bukti setinggi itu, terpulang kepada orang ramai untuk menilai. Kalau masih kata ini siasatan terpilih, saya tiada jawapan lain,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







