BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Siasatan rasuah lebuhraya dijangka selesai dalam dua bulan – SPRM

BANGI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangka siasatan berkaitan kes penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang melibatkan seorang individu bergelar Tan Sri akan dapat diselesaikan dalam tempoh satu hingga dua bulan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tempoh itu diperlukan bagi melengkapkan proses pengumpulan maklumat serta analisis dokumen daripada saksi.

“Setakat ini, seramai 53 saksi telah dipanggil untuk dirakam keterangan dan dijangkakan lebih ramai akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Rakaman percakapan individu bergelar Tan Sri itu juga akan disambung hari ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM Kali Kedua Tahun 2025 di sini, hari ini.

Kes Rasuah ADUN Sabah: Beberapa Dakwaan Menyusul

Mengulas perkembangan lain, Azam memaklumkan bahawa kertas siasatan berhubung klip video yang didakwa berkait dengan skandal rasuah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah telah dilengkapkan.

Katanya, satu atau dua individu dijangka akan didakwa dalam masa terdekat namun enggan mengulas lanjut dan memaklumkan bahawa maklumat terkini akan diumumkan kelak.

Rakaman Keterangan Jovian Dilakukan di Jakarta

Sementara itu, berkenaan siasatan kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, SPRM telah merekod keterangan pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie, 39.

Azam menjelaskan, rakaman tersebut dilakukan di Jakarta, Indonesia, sekaligus menafikan laporan media sebelum ini yang menyatakan ia dilakukan di Bali.

“Ada laporan media yang mengatakan siasatan dilakukan di Bali, namun saya ingin tegaskan bahawa rakaman tersebut dibuat di Jakarta,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button