Seleweng dana zakat RM230 juta: IKRAM rehatkan serta merta individu terlibat – Presiden
KUALA LUMPUR – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa susulan penahanan tiga individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Hulu Selangor, yang dikaitkan dengan siasatan pengurusan dana zakat.
Menurut Presiden IKRAM, Badlishah Sham Baharin, organisasi itu memandang serius perkara berkenaan dan menekankan bahawa integriti serta amanah merupakan asas utama dalam setiap gerak kerja mereka.
Menurutnya, pihaknya menghormati sepenuhnya proses siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM dan akan terus memberikan kerjasama sewajarnya selaras dengan keperluan undang-undang serta prinsip keadilan.
“Sebagai langkah pentadbiran dan tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak, individu yang terlibat telah direhatkan serta-merta daripada semua jawatan dan tanggungjawab dalam organisasi. Langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran serta ketelusan proses siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama katanya, kes berkenaan melibatkan tindakan individu dan tidak mencerminkan pendirian atau penglibatan organisasi secara langsung.
Tegasnya, sebarang tindakan tatatertib akan diambil sekiranya individu terbabit didapati bersalah, selaras dengan perlembagaan pertubuhan.
Katanya lagi, pihaknya akan terus menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak akan mengulas lanjut berhubung perkara itu sehingga siasatan selesai.
Dalam pada itu katanya, organisasi berkenaan komited untuk memperkukuh amalan tadbir urus melalui semakan dalaman berterusan bagi memastikan tahap ketelusan dan integriti sentiasa terpelihara.
Terdahulu tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes
menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Semalam, dua suspek lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an telah ditahan antara jam 3 dan 5 petang dalam operasi yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Lembah Klang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




















