SPRM siasat tiga NGO popular, kutip dana jutaan ringgit disyaki harta haram
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan sekurang-kurangnya tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) popular kini berada dalam radar siasatan susulan dakwaan penyelewengan dana awam sehingga mengumpul harta haram bernilai jutaan ringgit.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan awal mendapati wujud unsur salah guna dana kutipan awam dan pertuduhan dijangka dibuat dalam masa terdekat.
Menurut beliau, SPRM memandang serius isu tadbir urus serta ketelusan pengurusan dana awam, terutama apabila masih terdapat NGO yang mengambil kesempatan terhadap sikap dermawan rakyat Malaysia.
“Mereka masih menunggang agama, mengutip duit berjuta-juta tetapi wang itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi. Termasuk pengerusi NGO terbabit, mereka akan dituduh di mahkamah tidak lama lagi,” katanya dalam satu podcast semalam.
Azam berkata, sifat rakyat Malaysia yang mudah bersimpati dan gemar membantu golongan memerlukan sering dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Rakyat tertipu kerana mereka sangka wang yang didermakan itu untuk membantu orang susah, tetapi sifat pemurah itu diambil kesempatan oleh organisasi tertentu,” katanya.
Beliau turut mendedahkan, hasil siasatan SPRM mendapati terdapat NGO dan yayasan yang disiasat berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Dalam pada itu, Azam mempersoalkan peranan pihak yang sepatutnya memantau aktiviti NGO dan yayasan, terutama melibatkan kutipan dana awam.
“Ini duit rakyat tetapi rakyat yang kena tipu. Ada yang kata duit derma dihantar ke Palestin, tetapi kemudian ditukar kepada emas. Kenapa? Ke mana sebenarnya duit derma itu?” soalnya.
Tegas beliau, SPRM bukan satu-satunya agensi yang bertanggungjawab memantau keseluruhan kegiatan NGO dan kerjasama antara kementerian serta jabatan berkaitan amat diperlukan.
“Kementerian-kementerian tertentu perlu memantau, perlu buka mata. Jabatan masing-masing kena peka dengan apa yang berlaku,” katanya.
Azam berkata, SPRM sebelum ini telah mengambil tindakan terhadap beberapa NGO yang terbabit dalam penyelewengan dana awam dan pemantauan akan terus dipertingkatkan.
“Ada beribu NGO berdaftar di bawah ROS, namun kami fokus kepada NGO yang terlalu ketara. NGO sebegini sentiasa berada di bawah pemantauan SPRM,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







