Empat anak buaya tembaga bernilai RM240,000 dirampas dalam serbuan di Johor Bahru
JOHOR BAHRU – Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) merampas empat ekor anak buaya tembaga bernilai RM240,000 dalam satu serbuan di sekitar bandar raya ini, kelmarin, sekali gus membongkar kegiatan penyimpanan hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran sah.
Serbuan berkenaan dilaksanakan PSP dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan pihak berkuasa.
Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Rosli Md. Yusof berkata, pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan membawa kepada penemuan empat anak buaya tembaga yang disimpan di dalam kotak polisterin di bahagian but belakang kereta tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati haiwan berkenaan disimpan tanpa sebarang permit atau kebenaran sah daripada pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, buaya tembaga merupakan spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), dan tindakan menyimpannya adalah satu kesalahan serius.
Susulan itu, pihak berkuasa merampas empat ekor anak buaya terbabit bersama sebuah kenderaan dan sebuah telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM285,000.
Tambah Rosli, seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara Perhilitan Johor melengkapkan kertas siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menyimpan hidupan liar tanpa Permit Khas,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















