Pemandu lori terlibat kemalangan maut ragut 9 nyawa anggota FRU ditahan
TELUK INTAN – Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan maut yang meragut nyawa sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU), pagi tadi telah ditahan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu telah ditahan lebih awal hari ini.

“Kami mengesahkan bahawa lapan anggota FRU meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah hospital.
“Dua lagi masih berada dalam keadaan kritikal, manakala tujuh lagi sedang menerima rawatan akibat kecederaan sederhana,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Teluk Intan, lapor NST.
Tambahnya, ujian air kencing yang dijalankan ke atas pemandu lori itu menunjukkan keputusan negatif.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.
Jelas Bakri, kemalangan itu berlaku di KM15 Jalan Sungai Manik–Sungai Lampam dan melibatkan konvoi anggota FRU Unit 5 yang dalam perjalanan pulang dari tugasan kawalan keselamatan, dengan sebuah lori membawa muatan pasir.
“Anggota berkenaan sedang dalam perjalanan pulang ke pangkalan mereka di Sungai Senam, Ipoh, selepas menamatkan tugasan sempena Perayaan Chitra Pournami di Teluk Intan,” jelasnya.
Ketika ini, katanya pihak hospital sedang menjalankan proses bedah siasat ke atas anggota yang terkorban urusan penghantaran jenazah ke Unit 5 di Sungai Senam sedang diatur bagi penghormatan terakhir.
“Mangsa yang terkorban terdiri daripada anggota Muslim dan bukan Muslim, dan upacara pengebumian akan diuruskan mengikut kepercayaan masing-masing,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








