JENAYAH & MAHKAMAH

Dua penuntut universiti maut kemalangan di susur keluar DUKE

KUALA LUMPUR – Dua individu yang maut dalam kemalangan di susur keluar Jalan Kuching, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), di sini awal pagi tadi, dikenal pasti sebagai penuntut universiti.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian kira-kira pukul 5.10 pagi itu belaku apabila kereta terbabit dari arah Jalan Duta menghala Selayang dipercayai dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun sebelum hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya.

Rempuhan itu menyebabkan kereta mewah berkenaan terbakar.

Beliau berkata, pemandu yang juga penuntut universiti di Australia bersama penumpang hadapan, lelaki berusia 21 tahun penuntut universiti swasta tempatan, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Mereka dipercayai terperangkap dalam kenderaan yang terbakar. Seorang lagi penumpang, warga Singapura berusia 20 tahun yang berada di tempat duduk belakang sempat keluar dari kenderaan sebelum ia terbakar.

“Mangsa yang terselamat itu mengalami kecederaan ringan pada tangan dan kaki sebelum dibawa ke HKL untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu gagal mengawal kenderaan, namun polis sedang menjalankan siasatan lanjut, termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekitar lokasi dan mengambil keterangan mangsa terselamat.

“Proses pengecaman identiti kedua-dua mangsa yang rentung akan dijalankan melalui analisis DNA,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button