BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak perempuan ditemui selamat selepas Perodua Viva dicuri di Shah Alam

SHAH ALAM – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun ditemui dalam keadaan selamat selepas kereta yang dinaikinya dilarikan seorang suspek ketika diparkir di tepi jalan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam membabitkan sebuah Perodua Viva berwarna perak yang dilarikan ketika mangsa berada di tempat duduk belakang sambil bermain telefon bimbit.

Menurut beliau, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima makluman daripada orang awam berhubung kecurian kenderaan itu bersama seorang kanak-kanak perempuan di dalamnya, sebelum maklumat segera disebarkan kepada anggota bertugas di lapangan bagi mengesan mangsa dan kenderaan terbabit.

“Hasil maklumat orang awam, kenderaan bersama mangsa berjaya dikesan kira-kira sejam kemudian di tepi jalan berhampiran Restoran D’ Shell, Seksyen 26,” katanya dalam satu kenyataan.

Ramsay berkata, pemeriksaan lanjut oleh anggota polis dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah IPD Shah Alam mengesahkan kanak-kanak berkenaan berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan, namun masih mengalami trauma.

Beliau menjelaskan, ketika kejadian enjin kenderaan berada dalam keadaan dimatikan sebelum mangsa menghidupkannya selepas meminta kunci daripada bapanya kerana ingin berada di dalam kereta.

“Suspek hanya menyedari kehadiran kanak-kanak itu selepas mangsa menjerit, namun tidak bertindak ganas dan sekadar mengarahkannya supaya berdiam diri,” katanya.

Mangsa bersama kenderaan yang ditemui semula dibawa ke IPD Shah Alam untuk tindakan lanjut, manakala pemeriksaan forensik turut dijalankan oleh pasukan dari Kontinjen Polis Selangor.

Menurut Ramsay, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri kenderaan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik daripada jagaan sah.

“Kesalahan mencuri kenderaan boleh dihukum penjara antara satu hingga tujuh tahun serta denda, manakala bagi kesalahan menculik daripada jagaan sah, pesalah berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 011-1755 4394.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button