
PDRM digesa ambil tindakan tegas terhadap individu bangkit isu perkauman
KUALA SELANGOR – Ketua Cabang Parti Keadilan Kuala Selangor, Thiban Subramaniam menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang
membangkitkan isu perkauman yang dilihat semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
Menurut Thiban, sejak seminggu ini, tular di TikTok beberapa video berunsur menghina agama melibatkan dua individu yang memuat naik video berunsur provokasi perkauman dengan menghina agama Islam dan agama Hindu.
Katanya, video tersebut telah menimbulkan keresahan dalam kalangan penganut agama Islam dan Hindu di negara ini dengan beberapa siri video balas dan komen terus dibuat sehingga mengeruhkan lagi keadaan.
“Dalam insiden pertama seorang TikTok bernama Cikgu Chandra telah memuat naik sebuah video yang berunsur menghina agama Islam dengan kaitkan Ka’bah dengan Sivalingam. Ini adalah sebuah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan harus dikecam. Pihak polis harus mendakwa individu yang berbuat demikian sekiranya laporan polis telah pun dibuat.
“Dalam insiden kedua seorang mualaf bernama Zamri Vinoth Kalimuthu telah menggunakan medan Tik Tok untuk membalas kenyataan Cikgu Chandra dan membuat kenyataan yang menghina agama Hindu dengan mempersendakan Sivalingam iaitu Dewa Siva,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, ini bukan kali pertama Zamri Vinoth berbuat demikian dengan laporan polis telah pun dibuat, namun sehingga kini masih belum ada apa-apa tindakan sehingga ia menimbulkan persepsi yang negatif terhadap Kerajaan Madani kononnya ada unsur “double standard”.
Justeru itu, Thiban berkata, kedua-dua individu yang membuat provokasi perkauman itu perlu diambil tindakan bagi memastikan tiada lagi ruang untuk sifat perkauman yang menggugat keharmonian, perpaduan dan keamanan Negara ini.
Tambah Thiban, kerajaan perlu mengkaji semula cadangan memperkenalkan satu rang undang-undang spesifik membolehkan kerajaan bertindak terhadap mana-mana pihak yang menggunakan isu-isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan nasional.
“Sebelum ini pernah ada usaha untuk memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional bagi menggantikan Akta Hasutan namun ianya menjadi sekadar kenyataan polemik,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







