Kes tikam di sekolah: Bapa mangsa dedah anaknya bukan sasaran suspek, alami 14 kesan tikaman
BANTING – Bapa kepada pelajar perempuan berusia 15 tahun yang cedera akibat ditikam di sebuah sekolah menengah di sini mendakwa, anaknya bukan sasaran suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Mohd Firuz Ibrahim, 43, berkata, dia percaya, anaknya menjadi mangsa keadaan kerana berada paling hampir dengan suspek ketika kejadian berlaku.
“Saya rasa anak saya bukan sasaran. Mungkin dia mahu menyasarkan orang lain, tetapi anak saya kebetulan berada paling dekat dengannya.
“Mungkin juga kerana badan anak saya agak besar, dia tidak sempat melarikan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Banting, hari ini.
Dia yang masih terkejut dengan insiden itu berkata, anaknya berada dalam keadaan sedar dan boleh bercakap ketika ditemui selepas serangan tersebut.

Menurutnya, doktor memaklumkan bahawa anaknya mengalami beberapa kecederaan, termasuk pada paru-paru kiri.
“Semasa saya sampai, keadaannya agak teruk. Tidak lama kemudian, mereka membawanya untuk menjalani imbasan bagi mengenal pasti tahap kecederaannya.
“Paru-paru kirinya tercedera. Dia sedar dan boleh bercakap,” katanya memetik laporan Metro Online.
BACA JUGA:
Pelajar sekolah menengah cedera dalam insiden tikaman di Banting
Kes tikam di sekolah: Pelajar cedera sedang dirawat, suspek telah ditahan polis – JPN Selangor
Mohd Firuz mendakwa, anaknya mengalami kira-kira 14 kesan tikaman, kebanyakannya di belakang badan selain kecederaan lain di muka dan kepala.
Dia berkata, anaknya mengenali pelajar berusia 15 tahun yang dipercayai terbabit dalam insiden itu kerana mereka pernah menjadi rakan sekelas pada tahun lalu.
“Mereka kenal antara satu sama lain. Mereka rakan sekelas tahun lepas,” katanya lagi.
Menceritakan detik awal kejadian, Mohd Firuz berkata, dia sedang bekerja menyusun barang apabila menyedari terdapat beberapa panggilan tidak dijawab pada telefon bimbitnya.
“Apabila saya melihat telefon, saya tertanya-tanya mengapa ada begitu banyak panggilan tidak dijawab. Saya kemudian nampak guru sekolahnya ada menelefon.
“Apabila saya menelefon semula, barulah saya tahu apa yang telah berlaku.
“Pada mulanya, saya fikir anak saya mungkin jatuh sakit atau demam. Saya terkejut apabila mendapat tahu dia telah ditikam,” katanya.
Tambahnya, doktor turut memaklumkan mereka sedang berusaha mengeluarkan darah daripada paru-paru anaknya yang tercedera.
Mohd Firuz yang mempunyai tiga anak dan mangsa adalah anak kedua berkata, remaja itu belajar di sekolah berkenaan sejak tiga tahun lalu dan tidak pernah mengadu diganggu atau mempunyai masalah dengan pelajar lain sebelum ini.
Mengulas aspek keselamatan sekolah, dia berpandangan langkah keselamatan perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
“Selepas melihat apa yang berlaku hari ini, saya rasa aspek keselamatan di sekolah perlu diberi perhatian serius.
“Perlu ada pemeriksaan yang lebih ketat di pintu masuk sebelum sesiapa dibenarkan memasuki kawasan sekolah,” katanya.
Walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya, Mohd Firuz berkata beliau kini mahu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap proses pemulihan remaja berkenaan.
“Semestinya saya kesal perkara ini berlaku, tetapi ia sudah pun terjadi. Kita kena reda,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















