Polis sahkan dendam, emosi mungkin jadi motif kes tikam pelajar di PJ
SHAH ALAM – Polis tidak menolak kemungkinan unsur dendam dan tekanan emosi menjadi punca utama kejadian tragik yang meragut nyawa seorang pelajar perempuan tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian leher dan dada selepas ditikam berkali-kali sbelum sempat menerima rawatan.
“Bedah siasat yang dijalankan malam tadi mengesahkan punca kematian adalah akibat tikaman bertubi-tubi di bahagian leher dan dada.
“Senjata tajam yang digunakan telah dirampas dan dipercayai dibeli sendiri oleh suspek secara dalam talian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Menurut beliau, suspek lelaki berusia 14 tahun itu berjaya ditahan oleh guru-guru sekolah sejurus selepas kejadian sebelum diserahkan kepada polis.
Katanya, perintah reman selama tujuh hari telah diperoleh bagi membantu siasatan.
Mengulas mengenai dakwaan kejadian berpunca daripada penolakan cinta seperti yang tular di media sosial, katanya, pihaknya sedang meneliti semua aspek.
“Setakat ini tiada bukti menunjukkan ia melibatkan isu cinta. Polis sedang meneliti semua aspek, termasuk latar belakang emosi kedua-dua pelajar terbabit.
“Kemungkinan besar, kejadian ini berpunca daripada dendam atau tekanan emosi yang dipendam suspek,” katanya.
Tambah beliau, hasil siasatan awal juga menunjukkan suspek bertindak bersendirian tanpa sebarang perancangan rapi.
“Kejadian berlaku secara tiba-tiba di kawasan tandas sekolah ketika waktu rehat. Suspek menikam mangsa dan cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan oleh guru,” jelasnya.
Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis juga mengesahkan tiada penglibatan pihak ketiga dan hanya satu senjata digunakan dalam serangan tersebut
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








