Kes tikam di sekolah: Suspek tidak puas hati, dakwa pendam perasaan akibat dibuli – Polis
SHAH ALAM – Suspek yang dipercayai menikam seorang pelajar di sebuah sekolah di Banting, Kuala Langat pada Isnin lalu mendakwa bertindak kerana tidak berpuas hati dan memendam perasaan selepas merasakan dirinya dibuli.
Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal setakat ini tidak menemukan bukti yang menunjukkan kejadian buli benar-benar berlaku.
Menurut beliau, polis masih menjalankan siasatan secara menyeluruh dan meminta orang ramai memberi ruang kepada pegawai penyiasat melengkapkan siasatan.
“Hasil siasatan awal mendapati alasan yang diberikan suspek ialah rasa tidak puas hati dan memendam perasaan terhadap beberapa rakan sekolah yang didakwanya membuli dirinya.
“Namun, berdasarkan keterangan yang diperoleh setakat ini, tiada bukti yang menjurus kepada berlakunya kejadian buli,” katanya memetik laporan Metro Online.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shazeli berkata polis turut meneliti aspek lain yang mungkin menjadi faktor kejadian, termasuk keadaan emosi suspek.
Katanya, suspek dipercayai berdepan tekanan dan kemungkinan mempunyai masalah keluarga, yang kini sedang dinilai oleh pakar kaunseling sebagai sebahagian daripada siasatan.
Beliau menegaskan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















