WCE dijangka disambung dari Banting ke Masjid Tanah
ALOR GAJAH – Cadangan menyambung Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Banting, Selangor ke Masjid Tanah merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam Jemaah Menteri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jajaran baharu itu jika direalisasikan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di kawasan yang dilaluinya.
“Sekarang ini jajaran yang telah siap adalah dari Taiping ke Banting, Selangor. Selepas ini, insya-Allah daripada Banting sampai ke Masjid Tanah, sampai ke Batu Pahat, sampai ke Pontian, ia akan melalui Masjid Tanah.
“Kita mulakan daripada Masjid Tanah ke Banting terlebih dahulu, insya-Allah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Parlimen Masjid Tanah, di sini malam tadi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, cadangan berkenaan sebelum ini dibincangkan bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Kerajaan Negeri Melaka pernah memohon pertimbangan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan jajaran baharu WCE dari Banting melalui Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum memasuki Melaka dan diteruskan ke Johor.
Cadangan itu dilihat berpotensi meningkatkan akses perhubungan, merangsang kegiatan perindustrian dan pelancongan serta membuka peluang pertumbuhan ekonomi baharu kepada penduduk setempat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








