BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Kes tikam pelajar perempuan: Mahkamah perintah tertuduh ke Hospital Bahagia jalani ujian psikiatri

PETALING JAYA – Peguam bela kepada remaja lelaki berusia 14 tahun yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini, memohon agar anak guamnya menjalani ujian psikiatri bagi menilai tahap kesihatan mentalnya.

Majistret Amira Sariaty Zainal kemudian
membenarkan permohonan tersebut, sekali gus
memerintahkan pelajar lelaki itu menjalani penilaian psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak.

Permohonan dikemukakan peguam Anwar Ezzad Zainal yang mewakili tertuduh mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurut peguam Kitson Foong, yang merupakan amicus curiae (sahabat mahkamah), permohonan itu dibuat atas dua faktor utama iaitu bagi melindungi keselamatan tertuduh sendiri serta memastikan keselamatan banduan lain sekiranya dia ditempatkan di pusat tahanan sementara.

“Pertama, ujian ini penting bagi mengetahui sama ada tertuduh mempunyai masalah mental atau tidak. Jika ada, doktor boleh memberi ubat dan rawatan sewajarnya supaya dia tidak mencederakan diri semasa dalam tahanan kerana perkara itu akan menyukarkan pihak penjara.

“Kedua, ia juga bagi keselamatan banduan lain termasuk pesalah juvana yang mungkin ditempatkan bersama tertuduh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Jelas beliau, pihaknya turut meminta mahkamah menilai sama ada tertuduh berada dalam keadaan layak untuk membuat pengakuan serta memahami perjalanan prosiding yang dijalankan.

“Laporan psikiatri ini juga akan membantu menentukan sama ada tertuduh berada dalam keadaan siuman atau sebaliknya ketika kejadian berlaku. Hanya pakar psikiatri dapat memberikan penilaian berdasarkan sejarah dan keadaan mentalnya sejak kecil hingga hari kejadian,” katanya.

Foong menjelaskan, laporan penilaian psikiatri dijangka siap dalam tempoh sebulan namun boleh dilanjutkan sehingga tiga bulan sekiranya pakar memerlukan masa tambahan bagi melengkapkan analisis penuh.

Katanya, semasa prosiding, tertuduh yang tenang dan tidak menunjukkan sebarang reaksi emosi sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu sebelum diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin untuk difahami oleh tertuduh.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, dengan prosiding dijalankan secara tertutup.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 November ini bagi sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, remaja lelaki itu didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di bilik tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama, Damansara antara pukul 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober lalu.

Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataannya memaklumkan selepas
meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terdapat asas yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan.

Media sebelum ini melaporkan jasad pelajar perempuan yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya selamat disemadikan.

Mendiang disemadikan secara pembakaran di Krematorium Nirvana Shah Alam.

Terdahulu, polis telah menahan supek yang juga seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun. Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, kejadian berlaku di dalam kawasan sekolah terbabit sekitar pukul 9.30 pagi.

Sejurus selepas kejadian itu, keluarga mangsa dalam satu sidang akhbarnya mendakwa terdapat kira-kira 200 tikaman ditemui pada badan remaja perempuan tersebut yang ditemui mati dalam tandas di sekolah itu.

Ibu mangsa, berkata, berdasarkan penjelasan ahli patologi, kecederaan yang dialami anak bongsunya itu meliputi bahagian leher, termasuk bahagian rusuk, namun tiada kesan tikaman pada muka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button