Kes tikam pelajar: Laporan mental suspek remaja diketahui 16 Januari
PETALING JAYA – Mahkamah Majistret hari ini menetapkan 16 Januari depan bagi mengetahui keputusan laporan pemeriksaan mental seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan di tandas sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Oktober lalu.
Peguam tertuduh, Kitson Foong berkata, tarikh itu ditetapkan oleh Majistret Amira Sariaty Zainal selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk melanjutkan tempoh mendapatkan laporan pemeriksaan mental daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Menurutnya, pihak hospital memaklumkan mereka memerlukan masa tambahan bagi menyiapkan laporan tersebut kerana perlu menjalankan beberapa proses termasuk temu bual bersama ahli keluarga tertuduh serta mengumpul dokumentasi sejarah tingkah laku remaja berkenaan di rumah dan sekolah dengan bantuan pegawai penyiasat.
“Oleh itu, mahkamah membenarkan lanjutan masa hampir sebulan dan berharap laporan tersebut dapat disiapkan pada prosiding akan datang. Anak guam saya tidak hadir pada prosiding hari ini kerana masih menjalani rawatan dan penilaian di hospital terbabit,” memetik laporan Awani.
Foong berkata, laporan pemeriksaan mental itu penting bagi menentukan tahap kecerdasan tertuduh sebelum mahkamah mengambil pengakuan bersalah di Mahkamah Tinggi atau menetapkan tarikh perbicaraan atas pertuduhan membunuh.
Menurutnya, setakat ini keadaan remaja berkenaan dilaporkan stabil dan menunjukkan perkembangan positif sepanjang proses rawatan serta pemulihan yang dijalani.
“Dia memberikan tindak balas yang baik sepanjang rawatan,” katanya lagi.
Pada 22 Oktober lalu, remaja terbabit didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak melebihi 12 kali jika tidak dikenakan hukuman gantung.
Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








