JENAYAH & MAHKAMAH

Polis jejak anak wanita warga Malaysia ditangkap seludup dadah di Nigeria

KUALA LUMPUR – Pihak polis kini sedang giat mengesan anak kepada seorang warga emas wanita berusia 63 tahun yang ditahan di Nigeria, berikutan cubaan menyeludup 31 kilogram dadah jenis Canadian Loud.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan suspek disahkan selepas pihak Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Dadah Kebangsaan Nigeria (NDLEA) menyalurkan maklumat rasmi mengenai kes tersebut kepada pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, JSJN juga sudah memulakan siasatan untuk mengesan anak suspek untuk dipanggil merakam keterangan.

“JSJN akan bekerjasama dengan negara berkaitan untuk melengkapkan siasatan termasuk pihak berkuasa Thailand,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Memetik laporan The Guardian Nigeria semalam, seorang wanita warga emas berusia 63 tahun telah ditahan pihak berkuasa negara itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammed, Lagos, selepas didakwa cuba menyeludup masuk 31 kilogram dadah jenis Canadian Loud.

Suspek ditahan pada 17 Mei lalu oleh Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Dadah Kebangsaan Nigeria (NDLEA) sebaik tiba di terminal ketibaan lapangan terbang berkenaan.

Difahamkan, wanita terbabit yang memiliki status warga Malaysia naturalisasi itu tiba di Nigeria menaiki penerbangan dari Thailand melalui Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai dalam perjalanan dari Malaysia ke Thailand sebelum ke Nigeria, dengan membawa dua bagasi besar yang mengandungi bahan terlarang tersebut.

Ketika disoal siasat, beliau mendakwa perjalanan itu ditaja oleh anak perempuannya serta telah berada di Thailand selama kira-kira dua minggu sebelum menerima bungkusan berkenaan untuk dihantar ke Nigeria.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button