
PH-UMNO bincang PRN, kemelut MB Negeri Sembilan malam ini
KUALA LUMPUR – Biro Politik Pakatan Harapan (PH) dan UMNO dijadual mengadakan mesyuarat bersama malam ini bagi membincangkan beberapa isu politik semasa termasuk persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) serta kemelut kepimpinan di Negeri Sembilan.
Mesyuarat yang dijadual bermula jam 8 malam itu akan berlangsung di Kompleks Sri Perdana, Putrajaya dan dijangka dipengerusikan bersama oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sumber kedua-dua parti mengesahkan pertemuan itu turut memberi tumpuan kepada perkembangan politik di Negeri Sembilan, susulan tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Isu Negeri Sembilan antara perkara utama yang akan dibincangkan selain beberapa hal berkaitan Pilihan Raya Negeri,” memetik BH online.
Difahamkan, perbincangan turut melibatkan cadangan penyusunan semula kerjasama politik, agihan kerusi serta kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan PRN di beberapa negeri.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan keputusan besar termasuk pertukaran kepimpinan negeri, sumber terbabit berkata ia bergantung kepada hasil rundingan dan persefahaman antara pimpinan yang hadir.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan mengarahkan jentera parti bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan PRN mengejut di beberapa negeri susulan perkembangan politik semasa.
Perkembangan itu dilihat menambah tumpuan terhadap mesyuarat malam ini yang dijangka menjadi antara pertemuan penting dalam menentukan hala tuju Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








