Sekatan aplikasi: Ibu bapa bertanggungjawab pantau anak
KERAJAAN melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil langkah untuk menyekat akses ke atas aplikasi janji temu iaitu Tinder, Grindr dan Omi yang dikaitkan dengan aktiviti tidak bermoral.
Bagaimanapun, setakat ini tiada kawalan yang dikenakan ke atas platform utama seperti Google Play dan Apple Store yang masih membenarkan muat turun aplikasi-aplikasi tersebut di Malaysia.

Sebaliknya, pendekatan yang lebih menumpukan kepada pemantauan kandungan dalam talian sedang dilaksanakan bagi memastikan platform digital tidak digunakan untuk tujuan yang bertentangan dengan norma dan nilai masyarakat.
MCMC dalam satu kenyataan menegaskan bahawa pemantauan itu bertujuan untuk mengekang penyebaran kandungan yang boleh menjejaskan moral masyarakat serta keselamatan siber pengguna di negara ini.
Selain daripada sekatan aplikasi tertentu, kerajaan turut menekankan kepentingan kesedaran awam dalam menangani cabaran keselamatan digital.

Malah, MCMC secara aktif telah menjalankan pelbagai kempen keselamatan dalam talian bagi mendidik masyarakat tentang risiko yang boleh timbul daripada penggunaan aplikasi sosial dan temu janji tanpa kawalan yang baik.
Kempen itu termasuklah program literasi digital, forum awam dan kerjasama dengan institusi pendidikan serta badan bukan kerajaan bagi menyebarkan maklumat yang lebih meluas.
Profesor Kehormat Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr. Siti Rugayah Tibek berkata, peranan ibu bapa dalam memantau serta mendidik anak-anak mengenai bahaya platform digital adalah amat penting.

“Kawalan kerajaan sahaja tidak mencukupi jika ibu bapa tidak memainkan peranan aktif dalam memberi kesedaran kepada anak-anak mereka.
“Pendidikan awal tentang keselamatan digital harus bermula dari rumah,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Menurut beliau, aplikasi seumpama Tinder, Grindr dan Omi itu boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan sosial dan akhlak remaja jika tidak dikawal dengan baik.
Oleh itu, ibu bapa perlu lebih terbuka untuk berbincang dengan anak-anak mereka mengenai bahaya dan risiko dunia maya.
“Anak-anak zaman sekarang mudah terdedah kepada pelbagai pengaruh yang boleh menggugat akhlak dan pegangan mereka.

“Justeru, komunikasi yang terbuka antara ibu bapa dan anak-anak perlu diterapkan agar mereka lebih memahami baik buruk sesuatu aplikasi jika tidak dikawal.
“Ibu bapa harus mendidik anak-anak untuk bersikap kritis terhadap kandungan yang mereka temui dalam talian dan menggalakkan mereka berkongsi sebarang pengalaman yang mencurigakan atau tidak selesa,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Dr. Rugayah memberitahu, pendekatan yang terlalu ketat tanpa bimbingan yang betul juga boleh menyebabkan remaja mencari jalan lain untuk mengakses kandungan yang dilarang.
“Disebabkan itu, keseimbangan antara sekatan, pemantauan dan pendidikan adalah kunci untuk memastikan penggunaan teknologi yang selamat.
“Kesedaran harus diterapkan sejak kecil, bukan hanya dengan melarang tetapi dengan memberi pemahaman yang jelas mengenai sebab di sebalik sekatan yang dibuat,” katanya lagi.
Tegas beliau, ibu bapa adalah insan yang paling dekat dengan anak-anak.

“Maka, lebih mudah untuk mendekati mereka serta dapat mengikuti perkembangan anak-anak secara lebih terperinci,” ungkapnya.
Pendekatan yang bersepadu itu diharap dapat membendung aktiviti yang tidak sihat dalam talian serta melindungi pengguna, terutamanya golongan remaja dan belia daripada ancaman eksploitasi dan penyalahgunaan teknologi.
Ibu bapa dan penjaga juga diharap mampu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka.
Dengan usaha berterusan ini, kerajaan berhasrat untuk mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab, tanpa menjejaskan hak akses kepada teknologi dan maklumat secara seimbang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








