Projek terbengkalai lebih 10 tahun di Simpang Renggam siap, pembeli terima SLMR
JOHOR BAHRU – Penantian lebih sedekad pembeli projek perumahan terbengkalai di Taman Permata Layang, Simpang Renggam akhirnya berakhir apabila mereka menerima Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR), semalam.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau sendiri menyampaikan SLMR kepada pembeli projek yang melibatkan 47 unit rumah mampu milik dengan harga bermula serendah RM42,000 seunit.
“Secara peribadi, projek ini sangat dekat di hati saya kerana ia terletak dalam kawasan saya sendiri di Simpang Renggam dan telah saya perjuangkan sejak mula menjadi wakil rakyat.
“Proses penyelesaian bukan mudah, ia menuntut pelbagai intervensi, turun padang, pengurusan terperinci serta kerjasama erat antara pelbagai agensi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berharap kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelesaian projek perumahan terbengkalai di Johor.
Kerajaan negeri juga katanya, komited menangani projek sakit dan terbengkalai bagi memastikan masalah tersebut tidak berulang.
Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor serta semua agensi terlibat termasuk Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Pejabat Daerah Kluang dan Majlis Daerah Simpang Renggam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








