Zambry pertahan Onn Hafiz, dakwa pendirian terhadap DAP bukan bersifat perkauman
KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abd Kadir tampil mempertahankan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menjadi sasaran kritikan susulan kenyataannya menolak kerjasama dengan DAP.
Menurut beliau, pendirian yang disuarakan Onn Hafiz tidak seharusnya disalah tafsir sebagai bersifat chauvinis atau perkauman, sebaliknya ia dibuat berdasarkan prinsip politik serta kepentingan rakyat yang diperjuangkannya selama ini.
Katanya, kritikan melampau terhadap Menteri Besar Johor itu juga tidak wajar kerana kenyataan tersebut perlu dilihat dalam konteks politik negeri dan sejarah pentadbiran Johor.
“Sepanjang memimpin Johor, Onn Hafiz telah membuktikan beliau berkhidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.
“Justeru, pendirian yang diambil beliau berhubung DAP bukanlah berasaskan sentimen perkauman, sebaliknya lahir daripada perbezaan prinsip dan pertimbangan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zambry berkata, Johor sebelum ini ditadbir oleh BN sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan, justeru pendirian politik yang dibawa oleh BN Johor perlu difahami berdasarkan mandat dan perjuangan parti tersebut di negeri berkenaan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa UMNO dan BN juga sering berdepan pelbagai bentuk kritikan, sindiran serta kecaman daripada pihak lawan di pentas politik.
Namun katanya, perkara itu tidak pernah dijadikan alasan untuk menyerang atau membesar-besarkan perbezaan pandangan sehingga menjejaskan tumpuan terhadap agenda pembangunan rakyat.
Beliau menegaskan keutamaan semua pihak ketika ini sepatutnya tertumpu kepada usaha mengekalkan kestabilan politik, memperkukuh ekonomi serta menjaga kebajikan rakyat.
“Dalam perkara ini, Datuk Onn Hafiz terus menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sebagai Menteri Besar Johor,” katanya.
Tambah beliau, daripada terus terperangkap dalam polemik politik yang tidak memberi manfaat kepada rakyat, lebih baik semua pihak memberi perhatian kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan mengemukakan idea, dasar dan penyelesaian yang mampu membawa kemajuan kepada negeri.
Menurutnya, rakyat akhirnya akan membuat penilaian berdasarkan prestasi, rekod perkhidmatan serta kemampuan seseorang pemimpin mentadbir, bukannya retorik politik yang berpotensi menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















