From Pop to Metal Vol. 9 teruskan siri jelajah kedua di KL pada 8 Ogos
KUALA LUMPUR – Jelajah From Pop to Metal Vol. 9 Malaysia Tour bakal meneruskan rentaknya di ibu negara apabila menghimpunkan tujuh kumpulan muzik independen pelbagai genre di BEKL, Cheras pada 8 Ogos depan.
Selepas membuka tirai jelajah di Ipoh, program itu terus menjadi platform untuk mengetengahkan bakat muzik tempatan dengan memberi peluang kepada kumpulan baharu dan sedia dikenali berkongsi pentas dalam satu persembahan.

Penganjur berkata, tiga kumpulan yang memulakan jelajah di Ipoh iaitu The Alif, The Rudean dan As Our Throne akan kembali beraksi di Kuala Lumpur.
“The Alif dijangka mempersembahkan karya daripada album terbaharu mereka, Antologi Sakit Otak, manakala The Rudean terus mempertaruhkan identiti glam rock yang menjadi kekuatan kumpulan itu.

“As Our Throne pula bakal menghangatkan pentas menerusi persembahan metalcore,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.
Turut memeriahkan acara ialah Naratu yang membawa genre hardcore, Hot For Preacher (post-hardcore), Yeast (dance rock) serta Melodisaster yang baru sahaja melancarkan album terbaharu berjudul Terakhir.
Menariknya, Yeast dan Hot For Preacher merupakan antara kumpulan yang ditemui menerusi siri From Pop to Metal Pre-Show sebelum dipilih menyertai jelajah Malaysia Tour.

Menurut penganjur, pemilihan tersebut selaras dengan matlamat penganjuran program yang memberi ruang lebih luas kepada bakat muzik independen tempatan untuk menonjolkan karya mereka kepada khalayak yang lebih besar.
From Pop to Metal Vol. 9 Malaysia Tour dianjurkan oleh Insider Space dan Insider Satellite Ipoh dengan sokongan MyCreative Ventures (MyCV) menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah Kementerian Komunikasi.
Inisiatif itu dilihat sebagai usaha berterusan dalam memperkasa pembangunan muzik independen tempatan serta memperkukuh ekosistem industri kreatif negara.

Peminat muzik yang ingin menyaksikan persembahan berkenaan boleh mendapatkan tiket prajualan pada harga RM20 menerusi UberTickets, manakala tiket jualan di pintu masuk ditawarkan pada harga RM30 pada hari acara.
Orang ramai disaran mendapatkan tiket lebih awal kerana jumlah tiket prajualan yang ditawarkan adalah terhad. Maklumat lanjut mengenai jelajah dan penjualan tiket boleh diperoleh menerusi akaun media sosial rasmi @frompoptometal dan @insider_satellite.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








