BERITA SEMASADALAM NEGERI

Bank Data Kebangsaan permudah perkhidmatan digital rakyat

KUALA LUMPUR – Pembangunan Bank Data Kebangsaan (National Data Repository – NDR) merupakan inisiatif strategik Kerajaan MADANI untuk memperkukuh tadbir urus dan memacu Malaysia ke arah Negara Kecerdasan Buatan menjelang 2030.

Menteri Komunikasi, Gobind Singh Deo berkata, NDR yang disokong di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada 31 Julai 2025 bertujuan mengumpul data berkualiti tinggi daripada semua kementerian dan sektor kerajaan.

Katanya, melalui pusat data itu kerajaan dapat membuat keputusan dan merancang dasar dengan lebih cekap serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Gobind berkata, pelaksanaan NDR dijangka bermula pada 2026 dengan langkah utama termasuk kajian ekosistem data negara, penetapan garis panduan tadbir urus data, pembangunan piawaian data, penilaian kapasiti infrastruktur dan tenaga kerja serta reka bentuk platform teknologi NDR.

“Bank Data Kebangsaan juga menjadi tonggak penting aplikasi MyGOV Malaysia, yang membolehkan rakyat mengakses perkhidmatan digital secara lebih mudah,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu) di Dewan Rakyat, hari ini.

Integrasi itu memastikan data daripada pelbagai agensi kerajaan digunakan secara selamat, mematuhi protokol privasi dan persetujuan pengguna, serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pengurusan maklumat kerajaan.

Gobind berkata, inisiatif itu dijangka menjadikan perkhidmatan kerajaan lebih moden, efisien dan berasaskan data, selaras dengan aspirasi RMK13.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button