Kerajaan tubuh Pusat Arahan Komunikasi, perkukuh penyampaian maklumat
KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan sebuah Pusat Arahan Komunikasi (Communications Command Center) bagi menyelaras komunikasi kerajaan berhubung krisis tenaga global dan situasi geopolitik di Asia Barat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pusat berkenaan akan berperanan sebagai platform utama dalam menyampaikan maklumat rasmi serta langkah-langkah diambil kerajaan kepada rakyat secara lebih tersusun dan berkesan.
Beliau menambah, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof dan dijangka bermesyuarat secara berkala khususnya pada peringkat awal yang mungkin diadakan hampir setiap hari.
“Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh penyampaian maklumat, satu sesi taklimat atau sidang media akan diadakan setiap hari sekitar pukul 4 petang bagi memastikan perkembangan semasa dapat disampaikan secara konsisten kepada rakyat,” katanya dalam sidang media mingguan, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menjelaskan, penubuhan pusat itu penting dalam memastikan semua komunikasi berkaitan maklum balas kerajaan terhadap cabaran ekonomi dan tenaga global dapat diselaraskan dengan lebih efektif melibatkan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan.
Dalam masa sama, Fahmi menegaskan bahawa kerajaan komited untuk terus meningkatkan kecekapan komunikasi strategik bagi menghadapi cabaran semasa yang semakin kompleks.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








