BERITA SEMASA

UiTM Perlis santuni warga emas, semai nilai empati dan kesukarelawanan mahasiswa

ARAU – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis terus memperkukuh budaya kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa menerusi penganjuran Program Jalinan Kasih Bersama Warga Emas di Rumah Seri Kenangan, Kompleks Penyayang Dr Siti Hasmah, Jejawi, di sini.

Program itu menghimpunkan 40 pelajar Kursus Kokurikulum Khidmat Komuniti (HGD133) bersama 30 penghuni rumah kebajikan berkenaan dalam usaha merapatkan hubungan antara generasi muda dan warga emas melalui pelbagai aktiviti berteraskan nilai kemanusiaan dan kasih sayang.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perlis, Wan Mohd Yaseer Mohd Abdoh.

warga emas
Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Wan Mohd Yaseer Mohd Abdoh menyempurnakan Gimik Perasmian Program Jalinan Kasih Bersama Warga Emas di Rumah Seri Kenangan.

Turut hadir Timbalan Pengurus Rumah Seri Kenangan, Wan Shuhairee Wan Salim; Jurulatih Kokurikulum Khidmat Komuniti, Rosma Malini Md Aus serta Penyelaras Kursus Kokurikulum UiTM, Nur Aishah Zakaria.

Sepanjang program, peserta bersama warga emas menyertai pelbagai aktiviti interaktif termasuk senaman ringan, menghias sapu tangan secara kreatif, menghasilkan kain rentang, bermain congkak, permainan memori dan sesi nyanyian yang mewujudkan suasana ceria serta mengeratkan hubungan antara kedua-dua generasi.

Berucap ketika merasmikan program, Wan Mohd Yaseer berkata, penglibatan mahasiswa dalam aktiviti khidmat komuniti merupakan platform terbaik untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki sahsiah terpuji, sifat empati dan semangat kesukarelawanan yang tinggi.

“Program seperti ini bukan sekadar memenuhi keperluan kursus kokurikulum, malah menjadi wadah membentuk mahasiswa yang berjiwa besar, prihatin terhadap masyarakat dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.

“Warga emas merupakan khazanah negara yang wajar terus disantuni, dihargai dan diraikan kerana pengalaman serta kebijaksanaan mereka menjadi panduan kepada generasi masa kini dalam membina masyarakat yang lebih penyayang dan harmoni,” katanya.

warga emas
Mahasiswa Kursus Kokurikulum Khidmat Komuniti menjalankan aktiviti interaktif bersama warga emas.

Sementara itu, Pengarah Program, Asmarina Ismail berharap inisiatif seumpama itu dapat menjadi jambatan yang menghubungkan generasi muda dengan warga emas melalui jalinan kasih sayang, penghormatan dan keprihatinan.

Beliau berkata, warga emas merupakan khazanah masyarakat yang menyimpan pengalaman, kebijaksanaan dan nilai kehidupan yang amat berharga untuk diwarisi oleh generasi muda.

“Semoga Program Jalinan Kasih Bersama Warga Emas bukan sahaja membawa kegembiraan kepada penghuni Rumah Seri Kenangan, malah menyemai benih kasih sayang, empati dan semangat kesukarelawanan yang berkekalan dalam diri setiap mahasiswa,” katanya.

Program berkenaan mencerminkan komitmen UiTM Cawangan Perlis dalam melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan berjiwa masyarakat selaras dengan aspirasi universiti untuk membentuk insan yang seimbang dari aspek intelektual, kepimpinan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button