BERITA SEMASA

Nasi Kandar Sulaiman kecewa warga emas didakwa tengking pekerja, tidak mahu beratur

GEORGE TOWN – Pengusaha restoran terkenal, Nasi Kandar Sulaiman meluahkan rasa kecewa selepas seorang warga emas didakwa memarahi pekerjanya di hadapan pelanggan lain kerana tidak diberi layanan segera tanpa perlu beratur.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, pihak restoran mendakwa kejadian berlaku apabila lelaki warga emas itu terus menuju ke hadapan kaunter ketika pekerja sedang melayan pelanggan lain yang beratur.

“Joki tengah cedok untuk pelanggan lain. Pakcik kita ini terus beritahu kepada joki suruh buat untuk pakcik.

“Joki pun kata tunggu sat pakcik sebab pakcik baru mai. Terus pakcik marah joki sampai kata “hang bodoh kah”, jangan aku penampak hang”,” tulisnya.

Tambahnya, pihak restoran berkenaan memang memberi keutamaan kepada warga emas, namun berharap pelanggan tetap menghormati giliran serta menjaga adab ketika berada di premis makan.

Katanya, insiden tersebut menyebabkan suasana restoran menjadi tidak tenteram sehingga mengganggu pelanggan lain termasuk kanak-kanak yang berada di situ.

“Habis semua pelanggan lain pun jadi tak tenang nak makan. Dah la ketika itu ada budak-budak kecil semua.

“Saya rasa amat kecewa dengan perbuatan pakcik ini. Bukan apa, baru-baru ini saya ada belanja pakcik dengan duit penderma.

“Dia tak ingat itu semua boleh bagi kedai saya jadi huru hara. Bila tengok sikap pakcik ini saya jadi kecewa dah rasa lepas ini memang takmau belanja da orang seperti ini.

“Adab itu penting. Bila kita tidak menjaga adab, jangan haraplah orang akan suka dengan kita,” tegasnya.

Menurutnya, kadang-kadang orang yang simpati pada kita pun boleh bertukar jadi benci kerana kurangnya adab.

“Saya tutup muka pakcik ini sebab niat saya bukan nak bagi pakcik malu, tetapi saya cuma mahu sampaikan yang adab itu penting walau di mana kita berada. Perlu hormat semua,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button