PGA gagalkan cubaan seludup 700kg durian dari Thailand, pemandu pikap ditahan
RANTAU PANJANG – Tindakan seorang lelaki mengambil bekalan durian dipercayai diseludup dari Thailand berakhir dengan penahanannya selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 700 kilogram (kg) buah berkenaan dalam serbuan di sebuah pangkalan haram di tebing Sungai Golok, dekat sini kelmarin.
Dalam operasi pada pukul 7.15 malam itu, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan ketika sedang memunggah durian ke dalam sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton di pangkalan haram Abe Li Posmen.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asistan Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota yang menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan mengesan sebuah trak pikap dalam keadaan mencurigakan di kawasan pangkalan haram berkenaan sebelum bertindak melakukan pemeriksaan.
Menurutnya, pemeriksaan di bahagian tempat duduk belakang dan ruang muatan kenderaan menemukan 700kg durian yang dianggarkan bernilai RM3,500 tanpa sebarang dokumen import yang sah.
“Pemandu trak pikap itu memaklumkan kesemua buah durian tersebut ditempah oleh majikannya yang dikenali sebagai Kak Ya. Lelaki itu hanya ditugaskan untuk mengambil kesemua buah durian tersebut sebelum membawanya ke tempat jualan di Pasir Puteh.
“Durian itu dipercayai berada di tebing sungai dan beberapa lelaki sudah menunggu untuk mengangkut buah tersebut ke dalam muatan trak pikap dipandu suspek,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Kampung Gong Ketereh, Pasir Puteh, mendakwa itu merupakan kali pertama dia memasuki kawasan pangkalan haram berkenaan.
Malah, katanya, suspek memaklumkan dia menggunakan aplikasi Waze bagi mencari lokasi tersebut sebelum mengambil bekalan durian yang telah diatur oleh majikannya.
Beliau berkata, suspek bekerja secara sambilan dengan individu dikenali sebagai ‘Kak Ya’ dan menerima upah harian antara RM60 hingga RM70 bergantung kepada hasil jualan durian.
Katanya, kesemua durian bersama trak pikap yang digunakan dirampas dan dibawa ke Kompeni Taktikal PGA Taman Bakti untuk proses dokumentasi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167),” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















