BERITA SEMASA

PGA serbu kilang kayu haram, rampasan cecah RM1.69 juta

GUA MUSANG – Kegiatan sebuah kilang pemprosesan kayu haram yang dipercayai baru beroperasi kira-kira sebulan terbongkar apabila diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 dalam operasi di Kampung Sungai Bayu, di sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 4 petang itu, lima individu termasuk seorang wanita ditahan, manakala pelbagai jenis kayu, jentera berat dan peralatan pemprosesan kayu bernilai kira-kira RM1.69 juta dirampas.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Jajahan Machang selepas pihak berkuasa mengesan aktiviti mencurigakan di premis berkenaan.

Menurutnya, anggota PGA terlebih dahulu menahan sebuah lori yang keluar dari kawasan kilang dengan muatan kayu sebelum menahan tiga lelaki yang sedang menjalankan kerja-kerja pemprosesan di dalam premis tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati kilang itu beroperasi tanpa lesen sah yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan dan dipercayai menjalankan aktiviti memproses kayu tanpa membayar cukai.

“Seorang wanita berusia 47 tahun yang mengaku sebagai pemilik kilang memaklumkan premis itu mula beroperasi kira-kira sebulan lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, wanita terbabit turut memaklumkan bahawa kilang tersebut sebelum ini disewakan kepada kenalan suaminya yang juga dipercayai terlibat dalam pengendalian sebuah lagi kilang kayu haram.

Pemeriksaan lanjut menemukan dua mesin gergaji pita, beberapa jentera berat serta ribuan batang kayu daripada pelbagai spesies yang dipercayai diproses secara tidak sah.

Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan perhutanan kerana menjalankan operasi tanpa lesen dan dipercayai melibatkan hasil hutan yang tidak bercukai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button