JENAYAH & MAHKAMAH

PGA rampas 3,000 batang rokok seludup bernilai RM5,610

TUMPAT – Cubaan seorang penyeludup untuk meloloskan diri gagal apabila dia terpaksa meninggalkan kenderaan yang dipandunya selepas dikesan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Pulau Ular, Pengkalan Kubor semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, sepasukan anggota dari Batalion 8 PGA mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 2.30 petang.

Menurut beliau, pemandu kenderaan tersebut bertindak memecut ke arah kawasan semak berhampiran Kampung Kok Pauh sebaik menyedari dirinya diekori pihak berkuasa.

“Suspek kemudian meninggalkan kenderaan itu sebelum melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

“Anggota PGA telah menjalankan operasi mengesan suspek, namun lelaki terbabit berjaya meloloskan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemukan beberapa kotak yang mengandungi 3,000 batang rokok seludup bernilai RM5,610.

Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati rokok berkenaan dipercayai diseludup dari Thailand untuk dipasarkan di sekitar Kota Bharu.

Menurutnya, rampasan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PGA dalam membanteras aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan negara.

Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan dan semua barang rampasan dibawa ke balai untuk tindakan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button