BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Cubaan seludup CPO, ayam sabung tumpas dalam dua serbuan di Sabah

KUALA LUMPUR – Cubaan sindiket menyimpan serta memindahkan minyak sawit mentah (CPO) tanpa lesen selain menjalankan penyeludupan ayam sabung dari Filipina, berjaya dipatahkan dalam dua operasi berasingan di Lahad Datu dan Tawau, Sabah, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, serbuan khas pada Selasa lalu itu digerakkan oleh pasukan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) bersama beberapa agensi penguat kuasa.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di Lahad Datu, empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 31 tahun ditahan bersama rampasan kepala lori tangki berisi 30,000 liter CPO, sebuah van, beberapa tangki serta pam minyak.

“Jumlah keseluruhan CPO yang dirampas dianggarkan 30,148 liter dengan nilai RM152,090, manakala nilai keseluruhan sitaan termasuk kenderaan dan peralatan dianggarkan berjumlah RM645,890,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM200,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam operasi kedua pada Jumaat lalu di Tawau, Azmi berkata, polis menyerbu dua lokasi berasingan dan menahan lima lelaki terdiri daripada warga Indonesia, Filipina serta rakyat tempatan.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan dan pemeliharaan ayam sabung tanpa lesen.

“Sebanyak 622 ekor ayam sabung baka Filipina dirampas bersama ratusan sangkar ayam, vitamin serta 40 bilah pisau taji ayam. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM3.28 juta,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat atas pelbagai kesalahan termasuk mengimport haiwan tanpa lesen, menggaji pekerja asing tanpa permit, bekerja tanpa dokumen sah serta memiliki senjata berbahaya.

Dalam tempoh 1 Januari hingga 15 Julai lalu, WCB/PSK telah melaksanakan 173 serbuan di seluruh negara melibatkan penahanan 306 individu dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM544.7 juta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button