BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Op Kontraban: Minuman keras seludup RM1 juta dirampas, dua warga asing ditahan

KUALA LUMPUR – Polis Selangor merampas minuman keras seludup bernilai lebih RM1 juta menerusi Op Kontraban di sekitar Subang Jaya, Selangor, Rabu lalu.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, hasil serbuan itu membawa kepada penangkapan dua lelaki warga asing berusia antara 25 hingga 35 tahun di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut ke atas premis itu menemukan pelbagai jenis minuman keras atau arak dan rokok tidak bercukai serta dua lori bonded yang dipercayai digunakan bagi tujuan pengedaran.

“Rampasan merangkumi 17,972 botol dan 2,796 tin minuman keras atau arak pelbagai jenama serta 450 karton rokok tdengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1,009,174,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemantauan mendapati berlaku aktiviti pemunggahan kotak disyaki mengandungi minuman keras atau arak dari sebuah lori bonded ke dalam sebuah premis sebelum serbuan segera dijalankan.

Selain itu, katanya, polis turut merampas kenderaan dianggarkan bernilai RM214,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM1,223,174.

“Siasatan awal mendapati premis berkenaan digunakan sebagai stor simpanan sejak kira kira lima bulan lalu dengan bekalan arak disasarkan untuk edaran di pasaran sekitar Subang Jaya.

“Siasatan turut mendapati suspek mencetak label palsu pihak kastam untuk ditampal pada botol arak sebelum diedarkan bagi mengelirukan pembeli serta mengelak tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Shazeli berkata, jumlah rampasan besar itu dipercayai sebagai persiapan bagi memenuhi permintaan pasaran sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button