BERITA SEMASA

Op Jack Sparrow: Dua kumpulan jenayah terancang tumpas, 17 individu ditahan

KUALA LUMPUR – Usaha berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras kegiatan jenayah terancang membuahkan hasil apabila dua kumpulan yang aktif sejak 2023 berjaya ditumpaskan dalam operasi khas ‘Op Jack Sparrow’ pada 11 September lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama pasukan JSJ Kontinjen itu menahan 17 suspek berusia 19 hingga 44 tahun.

KPN Bukit Aman
Mohd Khalid menunjukkan antara penjenayah yang tumpas dalam op tersebut.

“Mereka dipercayai terbabit dalam pelbagai jenayah kekerasan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.

“Operasi ini menumpaskan kumpulan jenayah terancang yang sebelum ini menimbulkan kebimbangan umum.

“Ia termasuklah insiden serangan di sebuah restoran di Taman Sentosa, Klang awal tahun ini yang menyebabkan kematian serta tular di media sosial,” katanya memetik laporan BH Online pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati motif utama kumpulan berkenaan adalah keuntungan dan perebutan pengaruh selain dipercayai terlibat dalam kegiatan dadah serta ceti haram.

“Enam lagi ahli kumpulan masih bebas dan kini giat diburu,” katanya lagi.

Menurut Mohd Khalid, kesemua suspek ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) serta disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Siasatan turut dilakukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) bagi meneliti pembiayaan hasil haram serta saluran kewangan yang digunakan kumpulan terbabit.

“Dengan tertangkapnya ahli kumpulan ini, PDRM mencapai kejayaan besar dalam usaha membanteras jenayah yang selama ini menjadi ancaman serius kepada ketenteraman awam.

“Tiada ruang atau toleransi untuk mana-mana kumpulan jenayah terancang yang cuba menggugat keharmonian negara,” tegas beliau.

Turut hadir, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu dan Timbalan Pengarah JSJ (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Mohd Sukri Kaman.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button