36 maut, lebih 50 cedera dalam rempuhan ketika himpunan politik pelakon popular India
NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 36 maut manakala lebih 50 lagi cedera dalam insiden rempuhan ketika himpunan politik melibatkan pelakon dan ahli politik terkenal India, Vijay Chandrasekhar, di negeri Tamil Nadu, semalam.
Menteri Kesihatan Tamil Nadu, Ma Subramanian berkata, mangsa termasuk lapan kanak-kanak disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital, manakala mereka yang cedera kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Ketua Menteri Tamil Nadu, MK Stalin mengesahkan himpunan itu diadakan sempena kempen pilihan raya oleh Vijay yang kini aktif berpolitik selepas menubuhkan parti Tamilaga Vettri Kazhagam pada 2024.
Vijay, 51, yang juga antara bintang terbesar sinema Tamil selama tiga dekad, menarik puluhan ribu penyokong pada setiap siri jelajahnya.

Dalam kenyataan di platform X, beliau melahirkan kesedihan mendalam atas tragedi tersebut.
“Hati saya hancur dengan kejadian ini. Saya menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada semua keluarga mangsa yang terkorban di Karur,” katanya.
Rakaman media tempatan menunjukkan ribuan penyokong mengepung kenderaan kempen yang dinaiki Vijay.
Vijay dilihat cuba menenangkan orang ramai dan meminta bantuan polis apabila keadaan menjadi tidak terkawal.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, turut menyampaikan rasa dukacita dengan menyifatkan insiden itu sebagai “amat menyedihkan”.
“Doa dan ingatan saya bersama keluarga mangsa. Semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini,” katanya di media sosial.
Januari lalu, 30 maut ketika ratusan ribu penganut Hindu berpusu-pusu untuk mandi di sungai suci sempena Maha Kumbh Mela.
Julai tahun lalu pula, 121 terkorban dalam perhimpunan agama di Uttar Pradesh, manakala 11 penyokong bola kriket maut dalam perayaan kejayaan pasukan Bengaluru pada Jun lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








