LUAR NEGARA

Ratusan mayat mangsa banjir Derna ditemukan di pantai

Angka kematian melebihi 11 ribu, lebih 10 ribu mangsa masih hilang

ALLETTA – Ratusan mayat ditemukan bergelimpangan di pantai bandar Derna yang dibadai banjir dahsyat pada Ahad minggu lalu.

Laporan akhbar Times of Malta, yang memetik kenyataan Jabatan Perlindungan Awam Malta berkata, bilangan mayat terbabit dianggarkan berkemungkinan mencecah kira-kira 400 mangsa.

Kenyataan yang sama memaklumkan, jabatan itu menempatkan sekumpulan 72 anggota penyelamat dan pasukan tentera sejak Rabu lalu, kata ketua pasukan, Natalino Bezzina.

Pada mulanya, sekumpulan empat anggota penyelamat menemukan tujuh mayat, termasuk tiga kanak-kanak, di dalam sebuah gua di tepi laut.

Mangsa terbabit dipercayai dihanyutkan ke laut dalam tragedi banjir dahsyat yang melanda Derna selepas hujan lebat menyebabkan dua empangan pecah.

Bezzina berkata, kumpulan kecil anggota penyelamat Malta itu terjumpa gua terbabit yang separuh ditenggelami air, sebelum menemukan mayat di dalamnya.

Ketika kumpulan itu meneruskan usaha pencarian, mereka disertai pasukan Libya yang juga sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bencana berkenaan.

Mereka kemudian menjumpai sebuah teluk kecil yang dipenuhi sisa serpihan hanyut dan beberapa ratus mayat.

Dalam perkembangan berkaitan, Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusian PBB berkata, tragedi banjir berkenaan telah mengorbankan sebanyak 11,300 mangsa di bandar tersebut, dengan 10,100 lagi masih hilang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button