ASEAN perkukuh komitmen serantau bebas jerebu menjelang 2030
KUALA LUMPUR – Negara anggota ASEAN akan terus memperkukuh komitmen bersama ke arah merealisasikan aspirasi rantau bebas jerebu menjelang 2030 menerusi Mesyuarat ke-20 Jawatankuasa di bawah Conference of the Parties to the ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution (COM-20) yang berlangsung di sini, semalam.

Mesyuarat itu dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar selaku tuan rumah Pengerusi ASEA dengan penyertaan semua negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Lao PDR, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Pengarah Bahagian Udara JAS, Nor Aziah Jaafar.
Mesyuarat kali ini menjadi platform penting untuk menilai pencapaian negara anggota dalam melaksanakan ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution (AATHP).
“Perbincangan menekankan pelaksanaan penuh ASEAN Haze-Free Roadmap 2023–2030 sebagai panduan utama dengan memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan menghadapi risiko kebakaran hutan dan tanah gambut.
“Selain itu, ia juga fokus kepada pengukuhan mekanisme koordinasi serantau bagi memastikan tindak balas pantas dan berkesan serta pengurusan lestari tanah gambut untuk melindungi biodiversiti dan kesejahteraan komuniti,” jelas JAS.
Mesyuarat turut memberi perhatian kepada penyertaan Timor-Leste dalam perjanjian itu, yang dilihat sebagai langkah penting memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani isu pencemaran jerebu rentas sempadan.
Malaysia dalam mesyuarat berkenaan turut menegaskan kepentingan kerjasama erat antara negara anggota, selain pelaburan jangka panjang dalam amalan guna tanah mampan, pembangunan kapasiti sumber manusia dan sokongan teknologi daripada rakan antarabangsa.
“Usaha bersepadu ini diyakini mampu mencegah berlakunya kejadian jerebu rentas sempadan dan seterusnya menyokong aspirasi rantau ASEAN ke arah pembangunan mampan,” menurut kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








