TUDM lakukan penerbangan ihsan dari Pulau Tioman
PULAU TIOMAN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semalam melaksanakan penerbangan ihsan bagi membawa seorang penduduk Pulau Tioman ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Penerbangan itu melibatkan pesakit pneumonia, Rahim Shadan, 58, yang memerlukan bantuan oksigen aliran tinggi di hospital utama selepas disyorkan oleh Klinik Kesihatan Kampung Tekek, di sini.
TUDM memaklumkan pesakit diterbangkan menggunakan helikopter EC725AP dari Skuadron No. 10 Pangkalan Udara Kuantan pada pukul 10.55 pagi.
“Helikopter yang membawa dua pegawai perubatan dari HTAA mendarat di Lapangan Terbang Pulau Tioman pada jam 11.26 pagi.
“Pesakit kemudian diterbangkan ke Pangkalan Udara Kuantan dan selamat mendarat pada jam 12.38 tengah hari sebelum dibawa ke hospital dengan ambulans yang telah sedia menunggu,” menurut TUDM dalam satu kenyataan.

Penerbangan diketuai oleh Mejar Mohamad Horas Matupang Kardi dan Kapten Mohammad Suzaini Saleh sebagai pembantu juruterbang.
Turut serta dalam misi itu Sertu Jilvanio Stephanus, Sertu Muhammad Izuddin Mansor, Koperal Udara Fabian Petrus dan Koperal Udara Muhammad Raziq Ronally John yang merupakan anggota Pasukan Khas TUDM (PASKAU).
Menurut kenyataan itu, penerbangan berjaya disempurnakan walaupun berdepan cuaca buruk.
“Kejayaan ini membuktikan pegawai dan anggota serta aset TUDM sentiasa dalam siap siaga sebilang masa bagi melaksanakan sebarang operasi yang diamanahkan walaupun sebilangan rakyat Malaysia yang lain masih lagi meraikan hari raya,” katanya.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








