BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Menteri Pertahanan tiba di Berlin, hadiri forum PBB

BERLIN – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tiba di negara ini bagi menghadiri Forum Menteri-Menteri Penjagaan Keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Peacekeeping Ministerial 2025) yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Berlin Brandenburg pada pukul 5.36 petang waktu tempatan, semalam bersama delegasi Kementerian Pertahanan Malaysia.

Ketibaan mereka disambut oleh Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Berlin, Rozaime Mohamed Desa.

Forum berprofil tinggi yang berlangsung pada 13 dan 14 Mei itu menghimpunkan pemimpin serta pegawai kanan dari negara-negara yang menyertai misi pengaman PBB.

“Forum dwitahunan ini menghimpunkan pemimpin serta pegawai tertinggi dari negara-negara yang terlibat dalam misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Malaysia mengambil peluang ini untuk menyuarakan pandangan serta memperbaharui komitmen dalam mendokong usaha-usaha keamanan sejagat,” menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataannya.

Ia berfungsi sebagai platform utama untuk membincangkan hala tuju masa depan penjagaan keamanan global.

Selain memperkukuh sokongan politik terhadap misi pengaman, forum itu juga membuka ruang bagi negara peserta menyatakan komitmen mereka dalam memperkasa keupayaan operasi dan menyesuaikan pendekatan terhadap cabaran-cabaran semasa serta dinamika dunia yang kian berubah.

Mohamed Khaled dijadualkan menyampaikan pendirian Malaysia dan memperbaharui janji negara dalam menyokong keamanan sejagat.

Selain itu, beliau turut akan mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius, serta rakan sejawat dari Itali, Guido Crosetto, bagi membincangkan kerjasama pertahanan dua hala.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button