MINDEF perketat tadbir urus, Pelan Anti Rasuah distruktur semula secara menyeluruh
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengambil langkah drastik memperkukuh integriti institusi pertahanan negara menerusi penstrukturan semula Pelan Anti Rasuah yang lebih komprehensif, telus dan berteraskan prinsip akauntabiliti menyeluruh.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rombakan itu dilaksanakan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai usaha bersepadu menutup ruang penyalahgunaan kuasa serta ketirisan dalam pengurusan pertahanan negara.
Menurut beliau, pembaharuan berkenaan bukan sekadar perubahan dokumen dasar, sebaliknya membabitkan transformasi budaya kerja dengan penekanan kepada pembudayaan integriti di semua peringkat, termasuk kepimpinan tertinggi kementerian.
“Usaha ini disokong oleh kod etika kepimpinan yang menuntut teladan moral, ketelusan dan sifar toleransi terhadap rasuah, bagi membina budaya organisasi yang berintegriti dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap MINDEF,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjelaskan, antara penambahbaikan utama ialah penyusunan semula proses perolehan agar tidak lagi tertumpu kepada seorang individu atau satu unit semata-mata.
Sebaliknya, keputusan akan dibuat menerusi sistem jawatankuasa membabitkan kepakaran teknikal, kewangan, perundangan dan perancangan strategik.
“Setiap peringkat daripada perancangan hingga kelulusan mempunyai mekanisme semak dan imbang, termasuk kelulusan di peringkat tertinggi seperti Jemaah Menteri.
“Pendekatan ini mengurangkan risiko ‘single point of failure’ dan memastikan keputusan dibuat secara profesional dan telus, walaupun kerajaan mengakui penambahbaikan berterusan perlu bagi menutup ruang ketirisan,” katanya.
Dalam masa sama, MINDEF turut memperhebat agenda digitalisasi dan memperkukuh sistem pemantauan perolehan bagi meminimumkan campur tangan manusia serta menutup ruang manipulasi.
Sistem pemantauan yang dinaik taraf itu membolehkan status projek, jadual penghantaran, pematuhan spesifikasi serta prestasi kewangan dipantau secara berterusan sekali gus meningkatkan tahap akauntabiliti dan integriti pengurusan.
Tambah beliau, kementerian juga akan memperkasakan kawalan dalaman menerusi audit pematuhan, audit berasaskan risiko dan audit tadbir urus bagi memastikan semua proses mematuhi peraturan kewangan serta prosedur operasi standard yang ditetapkan.
“MINDEF komited untuk membersihkan semua bentuk ketirisan tanpa mengira pelakunya dan memulihkan integriti serta memastikan sistem tatakelola yang kukuh tanpa ruang untuk penyelewengan.
“Selama ini, integriti hanya dibicarakan tanpa dihayati. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk MINDEF bertindak dengan lebih tegas dan adil,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








