BERITA SEMASA

413 mangsa terlibat insiden di laut dilapor maut

PULAU INDAH – Seramai 413 mangsa yang terlibat insiden di laut dilaporkan maut manakala 191 mangsa dilaporkan hilang di laut.

Menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim
Malaysia (Maritim Malaysia), statistik itu direkodkan pihaknya dari tahun 2020 hingga April 2024.

“Persediaan rapi perlu dilakukan orang ramai bagi menghindarkan diri daripada terlibat dengan sebarang kemungkinan terutamanya insiden kecemasan di laut seperti lemas atau hilang di laut.

“Selain sentiasa memakai jaket keselamatan, membawa Personal Locator Beacon (PLB) serta memastikan keadaan bot selamat, kaedah berapung merupakan survival skill yang penting untuk menyelamatkan diri daripada lemas di laut sekiranya berlaku insiden seperti terjatuh daripada bot atau bot karam,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu buat julung kalinya Maritim Malaysia menganjurkan program Cabaran ‘Berapung Untuk Hidup’ sempena sambutan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim (HKKM) Peringkat Kebangsaan di Institut Latihan Pengangkutan Laut (MATRAIN) Klang.

Program ini merupakan inisiatif Maritim Malaysia bagi meningkatkan kesedaran serta mendidik orang ramai khususnya komuniti maritim melalui media massa dan media sosial agar mementingkan keselamatan diri ketika berada di laut.

Bersempena program pada kali ini, seramai hampir 50 orang terdiri daripada wakil agensi media tempatan serta pegawai dan anggota dari Jabatan Laut Malaysia (JLM) yang terlibat dalam cabaran itu ditunjukkan cara-cara untuk melakukan kaedah berapung yang betul oleh pegawai Maritim Malaysia.

HKKM disambut pada 6 Jun setiap tahun merupakan satu pengiktirafan kepada semua petugas serta agensi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) maritim yang setia berkhidmat menempuh cabaran demi menyelamatkan nyawa dan harta benda di laut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button