BERITA SEMASA

MCW sokong tindakan saman Azam Baki terhadap Bloomberg

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menegaskan setiap individu berhak mempertahankan reputasi dan maruah melalui saluran undang-undang apabila difitnah atau dilapor secara tidak adil.

Susulan itu, MCW menyokong penuh tindakan saman yang diambil oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki terhadap agensi media antarabangsa, Bloomberg.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, agensi media termasuk antarabangsa perlu menghormati prinsip undang-undang dan bertanggungjawaban jika laporan mereka mengandungi unsur fitnah atau mengelirukan.

“Media antarabangsa tidak terkecuali daripada prinsip ini. Mereka perlu berhati-hati dan adil supaya tidak diperalatkan oleh pihak berkepentingan untuk membentuk naratif yang belum terbukti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menekankan kebebasan media datang dengan tanggungjawab kewartawanan yang tinggi termasuk kewajipan semakan fakta, pengesahan silang sumber dan pelaporan seimbang.

“Jika laporan mengandungi elemen tidak tepat, berat sebelah atau mengelirukan, tindakan saman adalah langkah sah dan profesional bagi membolehkan mahkamah menentukan kebenaran,” tambahnya.

Jais menegaskan tindakan Azam bukan bentuk intimidasi terhadap kebebasan media, sebaliknya pendekatan bertamadun untuk menyelesaikan pertikaian fakta dan reputasi.

Menurutnya, tuduhan tidak berasaskan fakta dan sensasi boleh menjejaskan keyakinan rakyat dan pelabur antarabangsa terhadap sistem pentadbiran negara, justeru integriti institusi penguatkuasaan perlu dipertahankan.

Justeru, MCW menyeru semua pihak menghormati proses perundangan dan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan keadilan, sambil menegaskan komitmen mereka mempertahankan integriti dalam usaha memerangi rasuah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button