[VIDEO] Tubuh badan siasatan bebas teliti kaitan MMAG, Azam Baki – Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR – Dakwaan penglibatan syarikat yang pernah disiasat atas tuduhan pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM500 juta disifatkan lebih serius dan melangkaui isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, kata Datuk Seri Rafizi Ramli.
Menurut beliau, perkara itu wajar diberi perhatian menyeluruh termasuk melalui siasatan bebas kerana implikasinya melibatkan dakwaan pengaruh jenayah kongsi gelap terhadap institusi kerajaan.
Beliau menjelaskan, antara kes yang dikaitkan ialah melibatkan individu bernama Victor Chin yang pernah disiasat pada 2021 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih kurang RM500 juta.
Menurutnya, wang tersebut didakwa sebahagian daripada hasil kegiatan jenayah pengusaha untuk dilaburkan semula dalam pasaran.
“Ini satu tuduhan yang cukup serius.
LHDN menyiasat, kemudian menyiasat bersama SPRM dan timbul insinuasi bahawa selepas siasatan bersama itu, kes berkenaan ditutup,” katanya dalam sidang media selepas Himpunan Tangkap Azam Baki.
Rafizi turut mengaitkan perkara itu dengan siri transaksi melibatkan MMAG Holdings Berhad dan Velocity Capital Partner Berhad, dalam keadaan MMAG pernah disiasat kerana dituduh mencuci wang kongsi gelap, satu tuduhan yang disifatkannya sangat serius.
Katanya, meskipun tuduhan itu dianggap palsu, kerajaan bertanggungjawab untuk memulakan dan menjalankan siasatan terlebih dahulu.
“Jika ada sebarang bukti bahawa wujud unsur kerajaan yang terpengaruh dengan kegiatan jenayah kongsi gelap, itu sesuatu yang tidak boleh diterima oleh sesiapa pun. Malangnya orang tidak mahu bercakap dan saya lihat media juga tidak memberi penekanan,” ujarnya.
Beliau mendakwa tidak banyak laporan yang menyebut secara jelas bahawa syarikat dikaitkan, termasuk MMAG Holdings, pernah disiasat atas tuduhan mencuci wang kongsi gelap.
Menurutnya lagi, MMAG Holdings pernah dikuasai ahli perniagaan yang juga bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan turut terlibat dengan Velocity Capital yang sahamnya pernah dipegang Azam Baki.
“Connecting the dots ini mempunyai implikasi yang sangat serius dan sepatutnya diberi perhatian lebih jelas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan meneruskan desakan supaya satu siasatan bebas dijalankan.
Katanya, mekanisme paling sesuai ialah penubuhan Suruhanjaya Diraja yang perlu dipersetujui Kabinet, sebelum anggota-anggota seperti bekas hakim dan bekas pendakwa raya dicadangkan dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong bersama terma rujukan siasatan.
Menurut beliau, Suruhanjaya Diraja mempunyai kuasa memanggil saksi, mendapatkan bukti serta mengambil tindakan terhadap individu yang enggan hadir.
“Kalau hanya task force di peringkat pentadbiran kerajaan, belum tentu ada kuasa untuk mendapatkan dokumen atau memanggil individu. Tanpa kuasa mengikut akta, mereka tidak boleh ambil tindakan,” katanya.
Beliau berpandangan pasukan jawatankuasa khas yang diumumkan setakat ini tidak mempunyai kuasa mencukupi untuk memanggil individu atau mendapatkan bukti, apatah lagi menyiasat skop lebih besar termasuk dakwaan campur tangan dalam siasatan polis.
“Sebab itu saya rasa perkara ini tidak akan ke mana jika tidak ada siasatan bebas yang benar-benar mempunyai kuasa,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








