BERITA SEMASAPOLITIK

PKR Putrajaya sokong ketegasan Fahmi terhadap Meta

PUTRAJAYA – PKR Cabang Putrajaya menyokong penuh ketegasan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berhubung kegagalan syarikat teknologi Meta dalam membanteras aktiviti jenayah dalam talian, khususnya perjudian yang semakin berleluasa.

Ketua Penerangan PKR Putrajaya, Mohd Hafiz Osman berkata, laporan bahawa sehingga 19 September lalu sebanyak 168,774 permohonan penurunan kandungan telah dikemukakan kepada Meta tetapi respons syarikat itu amat mengecewakan, adalah sesuatu yang serius.

“Lebih membimbangkan, lebih 100,000 daripada jumlah itu berkaitan aktiviti judi dalam talian, iaitu satu bentuk jenayah yang amat merosakkan masyarakat dan ekonomi negara.

“PKR Putrajaya menyokong penuh ketegasan menteri untuk mendesak Meta mempertingkat kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, memperkenalkan mekanisme pengesahan pengguna yang lebih ketat termasuk penggunaan MyDigital ID, serta mengambil tindakan tegas sekiranya tahap kerjasama Meta terus berada di tahap tidak memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pendekatan Malaysia MADANI yang berteraskan prinsip integriti dan keselamatan siber memerlukan semua pihak termasuk syarikat teknologi global bertanggungjawab terhadap kandungan yang disiarkan di platform mereka.

“PKR Putrajaya akan terus menyokong sebarang usaha kerajaan untuk memastikan rakyat Malaysia terlindung daripada jenayah dalam talian dan ancaman siber yang semakin kompleks,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button