BERITA SEMASAPOLITIK

Muhyiddin pilih jalan sukar demi prinsip politik

KUALA LUMPUR – Presiden parti BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap sebagai pemimpin yang berani menempuh jalan sukar demi prinsip dan integriti politik beliau.

Perkara itu didedahkan bekas Ketua Setiausaha Sulitnya, Dr Marzuki Mohamad menerusi hantaran di media sosial.

Menurut Marzuki di setiap persimpangan pilihan yang terbentang dalam perjalanan politiknya, Muhyiddin sering menolak jalan mudah.

marzuki mohamad
Marzuki berkongsi Muhyiddin sering menolak jalan mudah demi prinsip dan integriti politik beliau.

Beliau turut berkongsi pengalaman ketika Muhyiddin dipecat daripada kabinet pada tahun 2015.

“Saya menunggunya di luar Pejabat Perdana Menteri ketika beliau bertemu Datuk Seri Najib. Salah seorang Setiausaha Politik Najib memberitahu bahawa ada sesuatu untuk Tan Sri Muhyiddin, jadi jangan risau jika beliau dibuang dari kabinet,” kata Marzuki.

Ujarnya, walaupun selepas dipecat, Muhyiddin akan ditawarkan jawatan sebagai Yang di-Pertua negeri atau Pengerusi GLC besar sebagai ganjaran persaraan politik.

“Namun, beliau menolak tawaran itu dan memilih jalan lebih sukar iaitu berjuang sebagai pembangkang.

“Orang kata beliau jatuh dari tempat tinggi. Tentulah sakit. Tetapi beliau tetap memilih jalan yang sukar,” tulisnya.

Tambah Marzuki, kesetiaan pengikut juga teruji. Semasa menjadi pembangkang, hanya beberapa kerat pengikut setia yang bersamanya, manakala Umno Pagoh tidak mengikutnya.

Bahkan ketika beliau menjadi Perdana Menteri ke-8, tawaran untuk kembali memimpin Umno bagi memastikan kelangsungan jawatan Perdana Menteri juga ditolak.

Keputusan itu dibuat demi memastikan BERSATU terus kukuh dan fokus pilihan raya, walaupun ia membawa risiko politik besar bagi dirinya.

Pilihan sukar lain berlaku selepas PRU-15 apabila Muhyiddin dikatakan menerima tawaran untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan, yang berpotensi menjadikannya Perdana Menteri sekali lagi.

Namun, beliau menolak untuk bekerjasama dengan DAP, menegakkan prinsip BERSATU dan Perikatan Nasional.

Menurut Marzuki, keputusan ini betul dari segi prinsip tetapi meletakkan beliau dalam laluan politik yang lebih sukar.

Kebanyakan ahli politik cenderung memilih jalan mudah demi kuasa, tetapi Muhyiddin berbeza.

“Sifir mudahnya, if you cannot beat them, you join them. Tetapi beliau tidak mengikuti logik itu,” kata Marzuki.

Malah, ketika Muhyiddin mengumumkan niatnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden BERSATU, ramai lega kerana akhirnya beliau memilih jalan mudah.

Bagaimanapun, desakan daripada perwakilan dan suasana gamat di dewan membuatkan beliau akur untuk memimpin satu penggal lagi.

“Di dalam dewan, semua bangun memberikan standing ovation. Tetapi saya tidak bangun, kerana saya tahu beliau sekali lagi memilih jalan yang sukar buat dirinya,” kata Marzuki.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button