POLITIK

Muhyiddin enggan ulas tawaran jawatan kepada KJ

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan mengulas mengenai tawaran beliau kepada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk menyertai parti Bersatu.

Beliau yang juga presiden Bersatu berkata, Khairy sudah menjelaskan mengenai tawaran itu ketika muncul dalam podcast Keluar Sekejap semalam.

“Tak payahlah bincang panjang tentang perkara itu.

“Saya telah nyatakan apa yang patut kita bincang. Jadi beliau telah beri penjelasan dalam media dan saya fikir (media) ‘mainstream’ telah bawa itu (penjelasan Khairy). Itu apa berlaku setakat ini,” kata Muhyiddin pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Presiden PN, di sini hari ini.

Dalam episod terbaharu Keluar Sekejap, Khairy berkata beliau memohon “masa tambahan” untuk memikirkan tawaran menyertai Bersatu yang dibuat Muhyiddin pada bulan lalu.

Khairy berkata, beliau bertemu dengan Pengerusi PN terbabit pada Isnin lalu yang memberikan lagi masa kepadanya untuk membuat keputusan.

Pada 17 Mei lalu, Muhyiddin dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu mengumumkan penawaran jawatan kepada Khairy percaya beliau mampu memberi sumbangan kepada parti.

Sementara itu, Muhyiddin menambah, setakat ini PN belum menamakan calon untuk bertanding dalam enam pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung kelak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button