POLITIK

Muhyiddin juga bukan calon PM – Samsuri

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar memberi reaksi tegas terhadap kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu calon Perdana Menteri gabungan itu.

Menurutnya, Muhyiddin juga bukan calon Perdana Menteri PN ketika ini.

“Apa yang pasti, Muhyiddin juga bukan lagi calon Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, kenyataan itu dibuat selepas beliau menerima banyak pertanyaan daripada wartawan mengenai kenyataan Muhyiddin sebelum ini yang menegaskan bahawa beliau hanyalah Pengerusi PN, bukan calon Perdana Menteri.

“Saya menerima banyak soalan daripada wartawan mengenai kenyataan Muhyiddin bahawa ‘Dr Sam ialah Pengerusi PN, bukan calon Perdana Menteri’.

“Walau siapa pun calon yang akan dipilih, keutamaan kita sekarang adalah untuk memperkukuh PN dan membina kesepakatan nasional bagi menghadapi pilihan raya dengan lebih bersedia,” katanya lagi.

Semalam, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dilaporkan berkata pelantikan Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman sebagai Pengerusi PN tidak bermakna beliau merupakan calon Perdana Menteri gabungan tersebut.

Menurut Muhyiddin, perkara berkaitan pemilihan calon Perdana Menteri PN belum pernah dibincangkan secara rasmi oleh kepimpinan tertinggi gabungan berkenaan.

Beliau turut berkata, pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN dibuat selepas Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mencadangkan perkara itu dan dipersetujui oleh Majlis Tertinggi PN bagi memberi peluang kepada kepimpinan lebih muda menerajui gabungan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button