
DAP sudah ‘move on’, akan bantu UMNO hadapi PRN
IPOH – Parti DAP sudah melupakan persengketaan dengan UMNO dan menyifatkan parti itu sudah pun menjalin kerjasama yang baik dalam menjaga kestabilan politik negara.
Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming berkata, pengukuhan hubungan itu dilaksanakan atas dasar kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kita dah ‘move on’ dan sekarang fokus utama kita adalah bagaimana untuk membantu UMNO dan UMNO pula membantu DAP demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik negara,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pasar Kampung Simee, di sini hari ini.
Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, parti itu akan membantu UMNO sehabis baik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan nanti.
“Kita akan membantu UMNO dengan sehabis baik dalam PRN akan datang dan seperti yang dikatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi di mana kesemua 19 parti yang berada dalam kerajaan Persekutuan akan bersatu hati mempertahankan kerajaan yang ada pada hari ini.
“Saranan saya kepada semua pihak kita perlu berada dalam landasan yang betul mengikut titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Kor Ming berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyifatkan lebih baik sekiranya parti DAP meminta maaf kepada UMNO.
Menurutnya, ini adalah kerana kedua-dua parti tersebut sedang bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, DAP sebagai rakan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan tidak perlu memohon maaf kepada UMNO yang didakwa pernah melemparkan pelbagai tohmahan terhadap parti Melayu itu.
Jelas Ahmad Zahid, perkara berkenaan telah diselesaikan ketika rundingan penubuhan kerajaan Pusat dan tidak seharusnya dibangkitkan lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








