BERITA SEMASAPOLITIK

Syarat pemimpin DAP terima anugerah, darjah kebesaran akan dilonggarkan – Anthony Loke

SHAH ALAM – Syarat penerimaan anugerah atau darjah kebesaran daripada mana-mana Sultan atau Yang Dipertua Negeri bagi wakil rakyat DAP akan dilonggarkan, kata Setiausaha Agungnya, Anthony Loke.

Menurut Loke, keputusan itu dibuat memandangkan terdapat ahlinya yang menerima tawaran anugerah secara terus daripada Sultan atau Yang Dipertua Negeri.

Tegas beliau, walaupun partinya bakal memberi kelonggaran tersebut, ia bukan bermaksud mana-mana wakil rakya DAP yang menjadi menteri dan timbalan menteri ketika ini perlu diberi darjah kebesaran.

“Sebelum ini kita ada dasar tidak membenarkan wakil rakyat DAP terima anugerah ‘Datuk’ dan lain-lain tetapi sekarang selepas hampir 17 tahun berada dalam kerajaan negeri dan Persekutuan, kita melihat kembali syarat dan dasar ini.

“Tidak boleh terlalu ketat sebab ada kalanya Sultan sendiri yang mahu anugerahkan gelaran ‘Datuk’ kepada wakil rakyat kita,” katanya berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.

Mengulas lanjut, Loke berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) bakal menentukan syarat setiap tawaran penganugerahan darjah kebesaran itu.

“Perlu ada syarat, nak dapat sudah tentu ada syarat. Ini akan dapat dibincangkan dalam CEC akan datang supaya dasar lebih fleksibel dapat dilaksanakan.

“Pemimpin yang sudah bersara, kita memang hargai anugerah dikurnia Tuanku terutama Tan Sri Lim Kit Siang atas penghormatan tertinggi ini,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button