Hampir 200 bekas pelatih PLKN 3.0 pilih sertai perajurit muda, Askar Wataniah
KUALA LUMPUR – Hampir 200 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 menyertai pasukan sukarelawan Askar Wataniah dan perajurit muda setelah menamatkan program tersebut.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penganjuran PLKN 3.0 merupakan elemen penting sebagai pintu masuk dalam menambah bilangan sukarelawan pertahanan bagi mencapai sasaran nisbah 1:1 antara anggota tetap dan simpanan.
Ketika ini, katanya, angkatan tentera mempunyai seramai 121,000 anggota, manakala sukarelawan pula hanya 34,086.
“Angka ini menunjukkan kita masih jauh daripada sasaran nisbah 1:1 antara anggota tetap dan simpanan. Jadi antara inisiatif penting melalui pelaksanaan PLKN 3.0, ia berfungsi sebagai pintu masuk kepada penyertaan lebih ramai rakyat dalam pasukan sukarelawan.
“Melalui usaha kita dalam PLKN 3.0 yang sudahpun dimulakan tahun ini, setakat ini seramai 40 pelatih sudah menyertai latihan perajurit muda.
“Sementara 148 pelatih menyertai Askar Wataniah. Angka ini dijangka akan meningkat seiring dengan pelaksanaan PLKN 3.0 secara lebih meluas mulai tahun depan,” katanya.
Mohamed Khaled berkata demikian pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamed Khaled kemudiannya berkata, PLKN turut berperanan sebagai satu langkah intervensi strategik yang dirancang khas dalam membina generasi muda yang berdisiplin, berjiwa patriotik dan berdaya tahan.
Beliau berkata, dalam dunia yang semakin kompleks, pemupukan nilai kenegaraan dan kesedaran pertahanan adalah asas penting untuk memastikan kedaulatan serta keselamatan negara sentiasa terpelihara.
Beliau berkata, peserta PLKN juga akan menjadi penghubung dan penyokong kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menyemai semangat patriotisme serta memberi dorongan kepada masyarakat untuk bersama-sama mempertahankan negara.
Katanya, semua pihak perlu sedar bahawa pertahanan negara bukan tugas eksklusif angkatan tentera sahaja.
“Sebaliknya ia memerlukan pemahaman dan sokongan seluruh rakyat. Semakin ramai rakyat memahami pertahanan dan keselamatan, semakin licin dan berkesanlah tugas dijalankan ATM.
“Atas sebab inilah PLKN diwujudkan semula supaya wujud dalam masyarakat, kumpulan yang betul-betul faham mampu bertindak dan bersedia menyumbang jika negara memerlukan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








