KEMENTERIAN PERTAHANAN

ATM aktifkan Ops Murni, 5,648 lokasi Monsun Timur Laut dipantau

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan Ops Murni secara menyeluruh sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut 2025-2026 yang dijangka membawa risiko banjir besar di seluruh negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ATM telah mengeluarkan direktif pemula operasi dengan melantik Panglima Tentera Darat sebagai peneraju bagi menyelaras ketiga-tiga perkhidmatan darat, laut dan udara.

“Setiap kali bencana berlaku, ATM menjadi antara agensi terawal membantu negara dan rakyat. Tahun ini kita bersiap jauh lebih awal kerana 5,648 kawasan telah dikenal pasti berpotensi dilanda banjir,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, pada masa ini ATM berada dalam fasa atur gerak awalan bagi mengesan kawasan berisiko berdasarkan rekod banjir terdahulu, data Jabatan Meteorologi Malaysia dan maklumat pegawai lapangan.

“Kita tidak menunggu banjir berlaku. Tentera sudah mengenal pasti kawasan kritikal supaya apabila hujan lebat melanda, tindakan segera dapat diambil,” katanya lagi.

Beliau berkata, ATM telah menyediakan 266 pegawai dan 4,162 anggota lain-lain pangkat bagi operasi banjir kali ini

Katanya, turut disediakan ialah 500 aset mobiliti darat, 626 bot, 6,729 jaket keselamatan serta 19 pesawat untuk tujuan pemindahan, penghantaran bantuan dan operasi menyelamat.

Mohamed Khaled berkata, ATM akan terus bertindak berdasarkan penilaian di lapangan tanpa menunggu arahan tambahan apabila bencana berlaku.

“Bila banjir, tentera tidak tunggu. Mereka terus bergerak kerana memang sudah berada di kawasan itu. Mereka akan bantu, selamatkan dan jalankan apa sahaja tugas yang perlu,” katanya lagi.

ATM turut bekerjasama rapat dengan NADMA serta agensi lain seperti polis, bomba, APM, RELA dan pasukan sukarelawan dalam penyelarasan operasi.

Beliau berkata, ATM turut mempunyai pasukan resap (pasukan simpanan) yang sedia digerakkan jika situasi banjir meningkat dan memerlukan tambahan anggota.

“Dalam aspek peralatan, beberapa aset tambahan termasuk trak dan jambatan sementara (Bailey Bridge) telah diserahkan NADMA kepada ATM, dan kerajaan bersedia menambah kelengkapan jika diperlukan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button