23 motosikal disita, 115 saman dalam Op Samseng Jalanan di Baling
BALING – Sebanyak 23 motosikal disita manakala 115 saman dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling di beberapa kawasan ‘panas’ lumba haram di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, operasi bersepadu itu dijalankan bermula jam 4.30 petang hingga 1 pagi dengan penglibatan pelbagai elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, sepanjang operasi tersebut, sebanyak 97 individu diperiksa membabitkan 84 kenderaan.
“Sebanyak 115 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta pengubahsuaian kenderaan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selain saman, sebanyak 23 motosikal turut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.
“Tindakan tegas akan terus diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang jalan raya,” katanya lagi.
Menurutnya, operasi itu dilaksanakan secara berterusan bagi mengekang aktiviti lumba haram yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh membahayakan diri serta pengguna jalan raya lain.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







